PROTON Saga yang dipandu penyeludup berusia 23 tahun ditinggalkan di tepi jalan sebelum melarikan diri di Kampung Terbak. FOTO ihsan KPDN
PROTON Saga yang dipandu penyeludup berusia 23 tahun ditinggalkan di tepi jalan sebelum melarikan diri di Kampung Terbak. FOTO ihsan KPDN
Siti Rohana Idris


Tumpat: Lelaki dipercayai penyeludup menyerah diri selepas penat dikejar sejauh 100 meter ketika cuba melarikan diri dalam semak di Kampung Terbak, di sini, malam tadi.

Lelaki warga tempatan berusia 23 tahun itu diberkas pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan ketika cuba membawa sejumlah petrol untuk diseludup ke Thailand.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, sebelum tangkapan pada jam 7.15 malam itu, pihaknya mengesan suspek bersama beberapa rakan sedang membuat pengisian petrol berulang kali di sebuah stesen minyak di Kampung Kelaboran.

"Selepas menyedari kehadiran kami bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, mereka beredar dan keluar secara melulu dari stesen minyak terbabit.

"Pasukan mengekori sebuah kenderaan daripada kumpulan itu sejauh tujuh kilometer. Sebaik tiba di Kampung Terbak, suspek menghentikan kereta jenis Proton Saga yang dipandunya dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Dengan ketangkasan pasukan operasi, suspek berjaya ditahan selepas dia menyerah diri dan penat dikejar sejauh 100 meter," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaannya menemui 75 liter petrol dalam tangki ubah suai dan dipercayai untuk diseludup ke negara Thai.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 4:58 PM