Siti Rohana Idris


Tumpat: Jeti Kok Majid di sini, meriah dengan pengundi yang naik turun bot penambang untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, di sini.

Pergerakan di jeti itu sudah bermula seawal jam 7 pagi lagi dengan kehadiran pengundi dari tanah besar yang ingin menaiki bot penambang untuk mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran.

Pemandu bot penambang, Razali Wan Mohamad, 65, berkata, tugasnya bermula jam 6.30 pagi tadi lagi apabila ditugaskan membawa tiga peti undi dari tanah besar ke sekolah terbabit.

"Memang tugas ini adalah rutin kami sebagai pemandu bot penambang setiap kali menjelang pilihan raya kerana selain membawa penumpang yang juga pengundi, petugas pilihan raya turut menggunakan bot penambang.

"Tambang yang dikenakan tidak mahal iaitu RM2 sehala dan boleh dikatakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sama seperti pilihan raya lain yang sedikit sebanyak memberi rezeki lebih kepada kami," katanya ketika ditemui di jeti di sini, hari ini.

Terdapat 14 kampung di gugusan pulau di delta Sungai Kelantan, di sini, yang mempunyai lebih 5,000 penduduk dengan kira-kira 2,700 pengundi.

Bagi Mohamad Hafiz Ramli, 23, pula, dia yang menetap di Kampung Kadok, Kota Bharu tiba jam 9 pagi di jeti itu untuk mengundi dan berasa agak teruja kerana baru kali kedua terbabit dengan pilihan raya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada November lalu.

"Saya berasal dari Kampung Teluk Renjunadan sekarang menetap serta bekerja di Kota Bharu namun tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab.

"Hari ini saya datang bersama sepupu dan selesai mengundi nanti, akan bergegas pulang ke Kota Bharu," katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Kelaboran, Rosdi Razali yang ditemani isteri, Dr Norazura Mohd Rashidi, 38, turut ditemui di jeti terbabit.

Beliau berkata, mereka berdua berada di jeti itu jam 7.45 pagi lagi dan menjadi antara pengundi terawal membuang undi di SK Pulau Beluru tidak jauh dari rumah keluarganya.

"Saya menetap di tanah besar iaitu Kampung Air Dingin dan selepas ini akan terus ke beberapa lokasi di DUN Kelaboran untuk melihat perkembangan sekitar hari pengundian hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 10:23 AM
ORANG awam turun dari bot penambang di jeti Kok Majid, di sini, selepas selesai mengundi bagi DUN Kelaboran. STR/SITI ROHANA IDRIS
ORANG awam turun dari bot penambang di jeti Kok Majid, di sini, selepas selesai mengundi bagi DUN Kelaboran. STR/SITI ROHANA IDRIS