CHE Khalid Che Kub, 48,  maut selepas motosikal yang ditunggang bersama anaknya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang di Kampung Bendang Morak. FOTO Ihsan Pembaca
CHE Khalid Che Kub, 48, maut selepas motosikal yang ditunggang bersama anaknya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang di Kampung Bendang Morak. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Rohana Idris


PENIAGA maut selepas motosikal yang ditunggangnya bersama anak dirempuh kereta dari arah belakang dalam kejadian di Bendang Morak, di Tumpat, malam tadi.

Kejadian 10.15 malam itu menyebabkan Che Khalid Che Kub, 48, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala anaknya, Che Fahim Danial Naufal, 12, parah.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan pulang dari menjemput anaknya yang juga murid Tahun Enam dari Sekolah Kebangsaan Berangan 1, dari kelas tambahan.

“Mangsa dan anaknya dari arah Tumpat menghala ke Wakaf Bharu dan ketika sampai di tempat kejadian mangsa memberikan isyarat ke kanan sebelum memperlahankan motosikalnya.

“Pemandu kereta yang berada di belakang mangsa cuba membrek, namun terlanggar bahagian belakang motosikal berkenaan disebabkan jarak yang terlalu dekat.

“Akibat rempuhan itu, mangsa dan anaknya tercampak ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, mangsa serta anaknya dibawa ke HRPZ II untuk menerima rawatan dan pada 12.30 tengah malam tadi.

Bagaimanapun, pihaknya menerima panggilan dari hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia.

“Pemandu kereta jenis Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 12:10 PM