KARTHIKGESAN berbual dengan Mah mengenai kejayaan diperolehinya menerusi Geogle Meet. Foto Ihsan pembaca
KARTHIKGESAN berbual dengan Mah mengenai kejayaan diperolehinya menerusi Geogle Meet. Foto Ihsan pembaca
Rosman Shamsudin

PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, S Karthikgesan, 14, teruja apabila menerima ucapan tahniah daripada Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon menerusi aplikasi Geogle Meet.

Terdahulu, Karthikgesan bersama bapanya, S Santharasekaran, 44, yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 mengharumkan nama negara dalam pertandingan reka cipta dan inovasi di peringkat antarabangsa.

Hasil reka cipta dan inovasi mereka iaitu pam angin alat pemadam api berjaya menerima Anugerah Emas sempena International Innovation & Invention Of Canada (I-CAN) dari Kanada serta Korea Creative Innovation Contest (CiC) pula dari Korea Selatan.

Karthikgesan berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada Timbalan Menteri Pendidikan 1 yang ingin mengucapkan tahniah atas kemenangan dalam pertandingan yang disertai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengisi masa ketika di rumah.

"Sejak saya menyertai pertandingan reka cipta dan inovasi di peringkat antarabangsa, ini kali pertama saya menerima ucapan tahniah daripada menteri, walaupun sebelum ini sering memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa.

"Kata-kata semangat yang diberikan oleh Datuk Dr Mah Hang Soon akan dijadikan sebagai motivasi dan dorongan untuk menghasilkan lebih banyak reka cipta dan inovasi untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa," katanya ketika dihubungi di Behrang.

Paling manis dalam pertandingan reka cipta dan inovasi sempena CiC, dia bersama bapanya juga menerima Anugerah Khas iaitu Asia Innovation Award (AIA).

"Penyertaan ini sungguh berbaloi kerana berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa walaupun disertai secara pos dan emel kerana dunia ketika itu sedang dilanda pandemik wabak Covid-19.

"Saya berazam mahu mengembangkan idea bersama bapa dalam bidang reka cipta dan inovasi kerana bidang ini mempunyai masa hadapan yang cerah jika dilakukan secara efektif serta efisien," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 3:11 PM