S Shantarasekaran. FOTO ihsan pembaca
S Shantarasekaran. FOTO ihsan pembaca
Rosman Shamsudin


Behrang: Bekas guru, S Shantarasekaran, 44, menerima anugerah 'World Innovation King Crown' (WIKC) 2020 dari Korea Selatan sebagai penghargaan kepadanya yang banyak terbabit dalam bidang inovasi serta reka cipta di peringkat tempatan juga antarabangsa.

Beliau yang juga bekas guru sains, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 turut menerima gelaran Profesor Pelawat dari Korea Invention Academy (KIA) 2020 sebagai tenaga pengajar profesional dalam bidang inovasi dan reka cipta.

Shantharasekaran berkata, majlis penganugerahan itu sepatutnya berlangsung di Hotel Best Western, Seoul Garden, Korea Selatan pada 20 Disember lalu namun disebabkan negara masih dilanda Covid-19 maka hadiah dan anugerah dihantar secara pos.

"Saya terkejut apabila menerima hadiah dan anugerah ini semalam. Saya tidak menyangka pembabitan dalam bidang ini mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Saya sudah menghasilkan 24 inovasi dan reka cipta berkonsepkan teknologi hijau serta mesra alam sekitar," katanya dihubungi hari ini.

Shantharasekaran bersara awal apabila mengambil keputusan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim pada 29 Ogos lalu atas tiket Bebas namun tewas.

Antara inovasi dan reka cipta yang menyumbang kejayaan beliau ialah 'Eco Segar Biostraw', 'Eco Segar Cycle Charger', 'Eco Segar Memosa Soap', 'Eco Segar Bio Pump', 'Eco Segar Bio Fertilizer' dan 'Eco Segar Fire Blast'.

"Kejayaan ini membuktikan anak Malaysia memang berbakat dan berpotensi tinggi dalam bidang inovasi serta reka cipta sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Saya berharap, kejayaan ini akan memberi semangat kepada pereka cipta muda supaya terus mempamerkan hasil inovasi dan reka cipta mereka bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa," katanya.

Shantharasekaran turut sedia membantu sesiapa sahaja yang ingin berkongsi idea atau mendapatkan petua dalam bidanga inovasi dan reka cipta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 5:09 PM