S.Santharasekaran menerima anugerah Knight Honorary Order atau dikenali Kesatria Sains dan Inovasi daripada negara Romania, baru-baru ini. FOTO ihsan Pembaca
S.Santharasekaran menerima anugerah Knight Honorary Order atau dikenali Kesatria Sains dan Inovasi daripada negara Romania, baru-baru ini. FOTO ihsan Pembaca
Rosman Shamsudin


Behrang: Bekas guru mata pelajaran sains di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020, S Santharasekaran, 45, mengharumkan nama negara selepas dianugerahi 'Knight Honorary Order' atau dikenali sebagai Kesatria Sains dan Inovasi peringkat antarabangsa baru-baru ini.

Anugerah tertinggi dalam bidang sains dan inovasi itu dikurniakan oleh 'Romanian Inventors' yang berpangkalan di Romania sempena forum 'Euroinvent-European of Creativity and Innovation' yang disahkan sebuah badan inovasi dunia iaitu 'Korean Innovation Academy' (KIA).

Santharasekaran yang juga Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam) berkata, selain itu, beliau turut dilantik secara rasmi sebagai Ahli Rasmi Berdaftar Kumpulan Pro Et Innovatio yang bertaraf antarabangsa.

"Hasil usaha saya selama ini dalam bidang reka cipta dan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa memang tidak sia-sia, malah ia mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Sumbangan idea dalam bidang berkenaan, terutama dalam memperjuangkan penggunaan teknologi hijau sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, sering diketengahkan pihak tertentu demi kelestarian alam semulajadi," katanya dihubungi.

Santharasekaran berkata, sepanjang berkecimpung dalam bidang ini juga, beliau turut bersama-sama membantu melahirkan ramai pencipta muda yang menceburkan diri dalam bidang reka cipta dan inovasi berteknologi hijau sehingga berjaya di peringkat antarabangsa.

"Kemajuan bidang reka cipta dan inovasi berteknologi hijau di negara ini mestilah seiring dengan dunia sains dan teknologi supaya apa jua pembangunan tidak memberi kesan kepada ekosistem alam semulajadi.

"Pada masa depan, saya merancang melahirkan lebih ramai lagi pencipta muda dalam bidang ini," katanya.

Menurut Santharasekaran, kejayaan ini memberi suntikan motivasi dan membakar semangat beliau untuk terus menghasilkan reka cipta dan inovasi serta idea baharu yang mampu menyumbang kepada kemajuan bidang berkenaan.

Kata Santharasekaran, walaupun sudah bersara daripada profesion pendidikan namun ia bukan penghalang untuknya membantu melahirkan lebih ramai pencipta muda, terutama melalui Perkam.

gambar:

1- BEHRANG 9 DISEMBER 2021. Bekas guru, S Santharasekaran menerima anugerah Knight Honorary Order atau dikenali sebagai Kesatria Sains dan Inovasi daripada Romania, baru-baru ini.NSTP/ Ihsan Pembaca.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 3:46 PM