GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

JABATAN Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) akan terus melaksanakan program suntikan vaksin anti-rabies dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah DVSS, Dr Adrian Susin Ambud berkata program itu dilaksanakan semula oleh jabatan sejak 10 Jun lalu selepas dihentikan sementara ketika PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pemilik boleh membawa anjing mereka ke pejabat DVSS berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin anti-rabies secara percuma pada waktu pejabat.

"Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan seperti mengamalkan penjarakan sosial, membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejak 1 Januari sehingga 12 Jun, sebanyak 7,518 ekor anjing disuntik dengan vaksin anti-rabies.

"Adalah penting untuk semua anjing disuntik dengan vaksin bagi mencegah rabies atau penyakit anjing gila setiap tahun.

"Jumlah kumulatif anjing disuntik vaksin dari 2017 sehingga 12 Jun tahun ini adalah 158,322 ekor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 6:14 PM