FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Miri: Kes-kes rabies yang menjangkiti haiwan dan manusia mencatatkan peningkatan di Sarawak, dengan Kampung Narum di Marudi, di sini, diisytihar sebagai kawasan terbaharu jangkitan rabies selepas seekor anjing liar disahkan positif pada 2 Ogos lalu.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mereka yang digigit haiwan supaya segera mendapatkan rawatan di klinik.

"Tahun ini Sarawak merekodkan 13 kematian daripada 15 kes rabies mengikut Jabatan Kesihatan Sarawak.

"Sejak 2017 jumlah kumulatif rabies yang menjangkiti manusia kini berjumlah 70 kes dengan 63 kematian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selaras dengan peningkatan itu, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak mempergiatkan program vaksinasi anti-rabies di seluruh negeri terutamanya di bahagian Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

"Satu vaksinasi besar-besaran akan diadakan di tempat letak kereta Taman Awam Miri dari 9 pagi hingga 4 petang pada 19 dan 20 Ogos ini," katanya.

Dr Rundi berkata, DVS Sarawak dan Pasukan Immune Belt Enforcement Team (IBET) menetapkan sasaran 40,000 ekor anjing untuk divaksinasi di seluruh Sarawak tahun ini, dan sehingga kini 27,668 ekor anjing berjaya divaksinasi.

Menurutnya, sebanyak 392 sampel diuji, dan hasilnya 73 ekor anjing dan lima kucing didapati positif rabies.

Jangkitan rabies pada haiwan itu dikesan di Lundu (tiga); Bau (dua); Kuching (31); Padawan (18); Kota Samarahan (lima); Tebakang (empat); Bintulu (dua) dan masing-masing satu kes bagi Siburan, Serian, Sibu, Selangau, Mukah, Marudi dan Lawas.

Menurutnya, pemilik anjing mesti memastikan haiwan peliharaan mereka diberi vaksin dan mereka yang gagal melakukannya tanpa sebab munasabah bagi mematuhi Perintah Vaksinasi Anti-Rabies akan dianggap melakukan kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM1,000.

Pemilik yang membiarkan anjing mereka berkeliaran di jalanan juga boleh didenda tidak melebihi RM2,500 mengikut Seksyen 37 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, dan pihak berkuasa tempatan boleh merampas dan menahan mana-mana anjing yang dilepaskan tanpa pengawasan, selaras dengan Undang-undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 3:16 PM