GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Sebanyak 14 kes rabies dalam kalangan manusia dengan 11 kes kematian direkodkan di Sarawak sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKN), Dr Ooi Choo Huck berkata, terbaru, pihaknya menerima satu laporan kes rabies kelmarin.

"Ia membabitkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang meninggal dunia pada jam 11.41 pagi di Hospital Sibu.

"Lelaki itu disahkan dijangkiti rabies melalui ujian makmal dan didiagnosa sebagai rabies encephalitis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa dilaporkan mengalami gejala jangkitan rabies bermula 26 November lalu dan mendapatkan rawatan di Klinik kesihatan pada 1 Disember apabila gejala bertambah teruk termasuk kesukaran menelan makanan dan minuman.

"Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut, mangsa tidak mempunyai sejarah digigit atau dicakar anjing," katanya.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit didapati pernah mengendalikan bangkai anjing pada Oktober, tetapi status rabies haiwan terbabit tidak dapat dipastikan.

Dr Ooi berkata, aktiviti survelan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak turut mendapati banyak anjing yang positif rabies.

"JKN Sarawak ingin menasihati orang ramai supaya segera melaporkan kepada JPV Sarawak sekiranya terdapat haiwan peliharaan mereka yang berubah tingkah laku sama ada menjadi ganas atau muram.

"Jangan sesekali cuba menangkap atau menyentuh atau membunuh haiwan itu, tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar, sama ada yang hidup atau yang sudah mati," katanya.

Katanya, pemilik juga perlu memastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan anti-rabies setiap tahun.

Dr Ooi berkata, JKN Sarawak juga berusaha menambahkan lebih banyak fasiliti kesihatan yang boleh memberikan rawatan dan vaksin anti-rabies kepada kes gigitan haiwan terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Ketika ini, sebanyak 26 fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh Sarawak menyediakan kemudahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 3:46 PM