GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norsyazwani Nasri


JABATAN Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mengesahkan hanya seekor kucing dikesan positif virus rabies di Kampung Tambirat, Kota Samarahan.

Pengarahnya, Dr Adrian Susin Ambud berkata, perkembangan terbaharu penularan wabak rabies terhadap haiwan selain anjing itu dikesan selepas ujian Direct Fluorescent Antibody Test (FAT).

Katanya ujian membabitkan tisu otak kucing berkenaan di Makmal Diagnostik Veterinar Sarawak, baru-baru ini mendapati haiwan itu positif rabies.

“Kes itu dikesan apabila seekor kucing liar dilanggar oleh sebuah kereta di Kampung Tambirat, Kota Samarahan.

“Pemandu kereta terbabit cuba menyelamatkan kucing itu namun dia pula yang digigit,” katanya.

Dr Adrian berkata, pemandu kereta terbabit sudah mendapatkan rawatan dan suntikan anti-rabies di hospital berdekatan dengan pemantauan kini dijalankan.

Sementara itu, beliau berkata JPVS akan terus mempergiatkan aktiviti pemvaksinan haiwan sebagai langkah membendung wabak rabies di Sarawak dan setakat ini sebanyak 110,000 anjing dan sebanyak 8,545 kucing sudah divaksin.

“Doktor veterinar swasta juga menyediakan suntikan rabies di klinik masing-masing dan setakat ini lebih 10,000 haiwan sudah disuntik vaksin rabies di klinik swasta,” katanya.

Katanya lagi, sehingga kini sebanyak 96 sampel otak anjing sudah diuji dengan 32 daripada sampel itu didapati positif rabies.

“Sebanyak 13 sampel otak kucing juga sudah diuji dan didapati sembilan positif rabies. Bagi kes haiwan hidupan liar, lapan sampel otak telah diambil sejak tahun 2017 dan didapati semua sampel adalah negatif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 12:04 PM