GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 34 tahun dari Sibu, Sarawak, meninggal dunia pada Ahad lalu akibat dijangkiti wabak rabies, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kes rabies terbaharu itu menjadikan empat kes jumlah kes bagi tahun ini manakala jumlah keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 hingga semalam sebanyak 26 kes.

"Mangsa dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki sejak lima hari sebelum dimasukkan ke wad.

"Mangsa meninggal dunia pada 11.30 pagi 18 Oktober dengan didiagnos 'rabies encephalitis' dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal dijalankan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan mendapati kawasan kediaman mangsa terletak berdekatan dengan tapak pelupusan sampah dan terdapat banyak anjing liar berkeliaran.

Beliau berkata, mangsa pernah digigit anjing peliharaannya pada hujung tahun 2018, namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan kesihatan dan anjing itu bebas bercampur dengan haiwan lain serta tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies.

Katanya, anjing itu dibunuh orang awam susulan kejadian menggigit seorang lagi individu, namun tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing terbabit.

"Bagi kes ini, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk membuat penangkapan anjing di kawasan kediaman mangsa.

"KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi lain bagi memastikan pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

"KKM menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit rabies," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, orang ramai perlu mencuci bahagian tubuh digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur dan mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

Selain itu, beliau berkata, pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan bercampur dengan anjing atau haiwan liar sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin.

"Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar berkeliaran di kawasan tempat tinggal dan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

"Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 11:23 AM