SHAMSUDDIN. FOTO Arkib NSTP
SHAMSUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

PERSEKUTUAN Majikan Malaysia (MEF) melihat langkah memberhentikan pekerja akan merugikan majikan berikutan kebanyakan mereka sudah terlatih dan mempunyai kemahiran tertentu.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, jika keadaan ekonomi pulih dan keputusan memberhentikan pekerja sudah dilakukan, maka majikan terpaksa mengambil pekerja baharu dan melatih mereka semula.

Katanya, pihaknya melihat langkah menamatkan khidmat pekerja bukan menjadi fokus utama majikan dalam mengurangkan kesan aliran tunai.

"Pemberhentian pekerja adalah pilihan terakhir yang akan diambil majikan jika perniagaan tidak mampu beroperasi seperti normal baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jika majikan masih boleh bertahan dalam persekitaran perniagaan serba mencabar ketika ini, adalah lebih baik jika pekerja tidak dibuang kerja.

"Sebaliknya, majikan perlu mengambil penyelesaian lain yang lebih bijak, berhemah dengan situasi menang-menang," katanya.

Shamsuddin berkata, majikan juga boleh mengambil langkah lain termasuk mengurangkan kos gaji dengan melaksanakan potongan dan cuti tanpa gaji.

Menurutnya, MEF juga berharap kerajaan membuat peraturan yang membenarkan majikan untuk mengurangkan gaji dan faedah perkhidmatan bagi menurunkan kos buruh sekali gus membantu majikan.

Katanya, majikan amat memerlukan sokongan kerajaan dan pekerja untuk terus bertahan ketika ini.

"Beban mengurangkan perniagaan hendaklah ditanggung bersama dan tidak adil untuk membiarkan majikan memikul beban sendirian yang mana akan menjurus kepada pemberhentian pekerja.

"Pekerja seharusnya menyokong majikan untuk mengekalkan pekerjaan dengan menerima gaji dan faedah yang berkurangan untuk sementara waktu.

"Diharapkan apabila ekonomi pulih, pekerja masih ada pekerjaan dan faedah yang dikurangkan akan diberikan semula," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga boleh menggalakkan pinjaman guna tenaga pekerja yang mengalami kemerosotan permintaan kepada sektor yang memerlukan tenaga kerja untuk sementara waktu.

"Dengan cara ini syarikat yang mengalami kemerosotan permintaan tidak perlu memberhentikan pekerja tetapi meminjamkan mereka ke sektor lain yang masih berdaya saing seperti pembuatan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang mempunyai permintaan tinggi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 12:30 PM