KEMALANGAN di KM3.5 Jalan Skudai, Pantai Lido menghala ke pusat bandar, hari ini mengorbankan dua orang. FOTO JBPM Johor.
KEMALANGAN di KM3.5 Jalan Skudai, Pantai Lido menghala ke pusat bandar, hari ini mengorbankan dua orang. FOTO JBPM Johor.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM3.5 Jalan Skudai, Pantai Lido menghala ke pusat bandar, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa maut adalah lelaki yang menunggang motosikal dan penumpang kereta wanita, sementara pemandu kereta parah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua mangsa warga tempatan berusia lingkungan 40-an.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dari arah Skudai menghala ke pusat bandar hilang kawalan dan terbabas, mengakibatkan kereta yang datang dari arah belakang gagal mengelak serta merempuhnya.

"Kereta terbabit kemudian melanggar penghadang jalan, berpusing dan terbalik. Motosikal itu terbakar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raub berkata, dua mangsa yang maut disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala mangsa cedera parah dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Sementara itu, Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Pegawai Bomba Kanan II Shaifulnizam Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran babitkan mangsa kemalangan pada 4.04 pagi.

Katanya, ketika pasukan tiba, motosikal sudah marak terbakar dan musnah 90 peratus.

"Pemadaman segera dilakukan dan operasi itu tamat pada 4.40 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 11:20 AM