awiyah Muda, 63, melihat kedainya yang rosakan selepas dilanda ribut. FOTO NAZDY HARUN
awiyah Muda, 63, melihat kedainya yang rosakan selepas dilanda ribut. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Berang: "Pekerja dan pelanggan sempat melaungkan azan sebelum lari keluar kedai untuk menyelamatkan diri selepas kawasan ini dilanda ribut," kata Sawiyah Muda dari Taman Damai di sini.

Menurutnya, dalam kejadian pada 4.30 petang semalam itu, dia bersama enam pekerja dan empat pelanggan berada di kedai makan miliknya namun tersentak apabila kedai makannya dibadai ribut secara tiba-tiba.

Katanya, terkejut dan takut melihat kejadian itu menyebabkan dia tidak mampu berdiri dan terpaksa dipapah keluar ke kaki lima bangunan bersebelahan untuk berlindung.

"Sebelum kejadian, saya dan enam pekerja sedang lakukan pelbagai kerja termasuk kemas barang, manakala empat pelanggan lelaki sedang menikmati hidangan.

"Kejadian berlaku dalam sekelip mata yang mana pada mulanya hanya hujan biasa, namun tiba-tiba terdengar siulan angin dan kami melihat pusaran angin laju menuju ke kedai hingga tiada apa yang dapat dilakukan waktu itu selain laungkan azan.

"Cukup cepat kejadian berlaku hingga menyebabkan sebahagian struktur bumbung runtuh selain diterbangkan angin dan dalam keadaan cemas serta kelam-kabut itu, kami semua keluar dari kedai untuk menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya yang lebih mesra disapa sebagai Kak Mek, 63, berkata, dia dan semua yang berada di kedai ketika itu bernasib baik kerana sempat keluar dan kejadian beberapa minit itu menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM10,000.

Seorang lagi peniaga kedai makan di Kampung Langgar, Nor Farida Sulaiman, 45, berkata, dia yang baharu parkir kenderaan di sebuah pasar raya di bandar itu terus bergegas pulang ke kedai selepas mendapat berita kedainya dilanda ribut.

"Rakan sekampung menelefon saya memaklumkan kedai saya rosak akibat ribut namun saya ingatkan kerosakan kecil.

"Namun, sangkaan itu meleset kerana selepas melihat video serta gambar dihantar melalui kiriman WhatsApp ternyata ia tidak seperti yang disangkakan.

"Terkedu saya melihat tempat saya mencari rezeki sejak tujuh tahun lalu bersama suami (Ridam Syah Arpani) rosak dalam sekelip mata," katanya.

Menurutnya, penduduk kampung memaklumkan mereka melihat pusaran kepala angin menuju ke arah kedainya ketika kejadian berlaku.

Katanya, walaupun mengalami kerugian dan tidak dapat berniaga dijangka sekurang-kurangnya seminggu namun dia tetap bersyukur kerana kejadian berlaku ketika tiada orang memandangkan waktu operasi perniagaan bermula 8 malam.

Antara lokasi yang terbabit dalam kejadian itu adalah sekitar kawasan Sungai Bajar, Taman Damai serta Kampung Langgar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 10:25 AM