GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong pengambilan banduan yang mempunyai nilai produktif untuk diberi peluang kedua dalam hidup dengan diberi tawaran bekerja.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, golongan berkenaan juga berhak mendapat peluang kembali kepada masyarakat dengan bekerja.

Katanya, golongan banduan itu boleh bekerja dalam banyak sektor berdasarkan kemahiran dan kebolehan serta minat.

"Mereka (banduan) boleh dilatih dan berkemahiran mengikut keperluan industri. Mesti dibekalkan dengan semua faedah dan gaji seperti mana-mana pekerja serta tidak sepatutnya dilayan kelas kedua," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar kelmarin yang dilaporkan berkata, lebih 70,000 banduan dikenal pasti mempunyai nilai produktif untuk menjadi sumber tenaga kerja tempatan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Sivakumar berkata, angka itu jika dimanfaatkan oleh majikan dapat membantu menangani masalah kekurangan pekerja yang dihadapi ketika ini.

Syed Hussain berkata, semua pihak mesti menghormati banduan sebagai manusia dan melayani mereka selayaknya.

"Ramai banduan yang mempunyai kemahiran dan cita-cita untuk menjadi seseorang dalam hidup. Satu kesilapan tidak boleh dijadikan alasan.

"Di Malaysia, Jabatan Penjara sudah melakukan tanggungjawab yang baik untuk memberikan kemahiran kepada banduan dan ia permulaan yang baik untuk mana-mana kerjaya. Marilah kita sama-sama berusaha memberikan peluang kepada sesiapa pun untuk berjaya dalam hidupnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 2:21 PM