PASUKAN Belanda sedang giat menjalani latihan menjelang Euro 2024. FOTO Agensi
PASUKAN Belanda sedang giat menjalani latihan menjelang Euro 2024. FOTO Agensi
AFP

Berlin: Belanda mahu menjadikan kempen Euro 2024 ini sebagai medan membina pasukan lebih ampuh di Piala Dunia 2026 nanti.

Skuad The Orange hadir di bumi Jerman dengan serba kekurangan apabila hampir tiga bintang utamanya Frenkie de Jong, Teun Koopmeiners dan Marten de Roon tidak menyertai pasukan ekoran masalah kecederaan.

Menurut pertahanan Belanda, Denzel Dumfries, tumpuan mereka lebih menjurus memperbaiki prestasi pasukan dan tidak meletakkan harapan tinggi di Euro kali ini.

"Kami sememangnya mahu memburu keputusan terbaik di sini, namun kami sedar kekurangan yang ada dalam pasukan di mana beberapa pemain utama dilanda kecederaan.

"Tetapi kami mempunyai beberapa pemain yang mempunyai pengalaman diperlukan dalam kejohanan ini, jadi kami perlu menggunakannya untuk kelebihan itu.

"Apapun tumpuan kami untuk memastikan kami hadir lebih garang dalam kejohanan berikutnya," katanya.

Sejak sedekad lalu, Belanda sering gagal termasuk tidak layak beraksi di Euro 2016 dan Piala Dunia 2018 sebelum terkandas di pusingan 16 terbaik edisi Euro sebelum ini.

Louis van Gaal mengemudi pasukan di Piala Dunia 2022 dan berjaya membawa Belanda ke suku akhir sebelum tumbang di tangan Argentina yang kemudiannya muncul juara dunia.

Namun kali ini di Jerman, pasukan itu dibimbing Ronald Koeman yang diberi peluang membina semula pasukan agar Belanda tampil selaku kuasa bola sepak dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 11:15 AM