Sindiket penyeludupan manusia dikesan mengubah taktik dengan mengupah 'rider' untuk memindahkan warga asing dari rumah transit ke terminal bas. FOTO Ihsan JIM.
Sindiket penyeludupan manusia dikesan mengubah taktik dengan mengupah 'rider' untuk memindahkan warga asing dari rumah transit ke terminal bas. FOTO Ihsan JIM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan manusia dikesan mengubah taktik dengan merekrut penunggang motosikal untuk membawa keluar pendatang asing tanpa izin (Pati).

Tindakan itu dipercayai bagi mempercepatkan pergerakan Pati yang dipindah dari rumah transit ke terminal bas ekspres.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket berkenaan berjaya dihidu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) apabila menahan dua lelaki tempatan dan 33 warga asing yang dibawa masuk melalui laluan haram.

Semua mereka ditahan menerusi operasi khas dijalankan Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Unit Risik Sempadan JIM Kelantan di Kubang Kerian dan Lembah Sireh, Kota Bharu, Isnin lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pasukan operasi digerakkan bagi mengesan sekumpulan Pati yang dipercayai baru memasuki negara melalui pangkalan haram di sempadan.

"Lanjutan itu, pasukan operasi bertindak menyerbu sebuah rumah transit dan berjaya menahan seramai empat lelaki warga Bangladesh.

"Turut ditahan adalah seorang wanita Thailand dan dua lelaki warga India yang dijumpai berada dalam kereta transporter yang cuba melarikan diri.

"Susulan tangkapan, pasukan berjaya memperoleh maklumat mengenai

pergerakan transporter bermotosikal dipercayai cuba memindahkan Pati ke Terminal Bas Ekspres Lembah Sireh.

"Pasukan bergegas ke lokasi dan berjaya menahan dua lelaki tempatan, masing-masing sedang memboncengkan lelaki warganegara Myanmar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, ketika serbuan dilakukan penunggang motosikal cuba untuk melarikan diri, namun sempat dihalang dan kedua-dua motosikal itu disita.

Katanya, pemeriksaan kemudian dilakukan di sekitar terminal dan berjaya menahan 24 warga asing terdiri daripada 17 lelaki dan tujuh wanita, dipercayai sedang menunggu bas untuk dibawa ke destinasi ditetapkan.

"Sindiket dipercayai mengubah modus operandi dengan merekrut penunggang motosikal untuk membawa keluar Pati dari rumah transit ke terminal bas ekspres.

"Kumpulan dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada Pati untuk semua urusan berkaitan kemasukan mereka ke negara ini," katanya.

Menurutnya, semua warga asing yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun iaitu 11 warga Thailand; tujuh warga Myanmar; 12 warga Bangladesh; dua warga India dan seorang warga Indonesia.

Katanya, mereka disiasat kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang

dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

"Dua lelaki tempatan ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan semua kenderaan disita untuk siasatan lanjut jabatan.

"JIM akan meneruskan tindakan tegas bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran yang menjejaskan keselamatan negara melalui penguatkuasaan

Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 11:50 AM