ANTARA bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang dibawa masuk menerusi lintasan sempadan Rafah. FOTO AFP
ANTARA bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang dibawa masuk menerusi lintasan sempadan Rafah. FOTO AFP
AFP

Washington: Pentadbiran Joe Biden mengenakan sekatan ke atas satu kumpulan Israel kerana mengganggu konvoi kemanusiaan menuju ke Gaza.

Sejak perang meletus, penghantaran bantuan penting ke Gaza dihadkan dengan teruk oleh Israel, menyebabkan ramai orang kekurangan makanan dan air, dan ribuan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.

Tzav 9 ialah kumpulan aktivis sayap kanan yang berusaha untuk menghentikan sebarang bantuan ke Gaza, selagi tebusan Israel masih ditahan di wilayah Palestin.

"Selama berbulan-bulan, individu dari Tzav 9 berulang kali berusaha untuk menggagalkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, termasuk dengan menyekat jalan raya, kadangkala secara ganas," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matthew Miller.

Kenyataan Jabatan Negara AS menyatakan bahawa pada 13 Mei, anggota Tzav 9 merompak dan membakar dua trak di Tebing Barat, yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Penyediaan bantuan kemanusiaan adalah penting untuk mencegah krisis kemanusiaan di Gaza daripada bertambah buruk dan mengurangkan risiko kebuluran.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan tindakan sabotaj dan keganasan yang menyasarkan bantuan kemanusiaan yang penting ini," katanya.

AS, penyokong utama Israel, sudah mengenakan sekatan ke atas sebilangan pelampau peneroka Israel, sejak permulaan perang.

Pentadbiran Joe Biden mendesak perjanjian gencatan senjata yang dikatakan disokong oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, tetapi ia menimbulkan kemarahan beberapa sekutu sayap kanan pemimpin Israel itu.

Hamas dalam respons rasmi minggu ini membuat cadangan balas mengenai beberapa perkara.

Tsav 9 diasaskan pada Januari oleh militan yang rapat dengan sayap kanan Israel dan memperlihatkan dirinya sebagai persatuan orang awam termasuk ahli keluarga tebusan.

Kumpulan itu - yang namanya merujuk kepada gesaan pengerahan pasukan simpanan semasa perang - berkata, ia berharap dapat membebaskan tawanan dengan menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Perang bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel selatan yang mengakibatkan kematian 1,194 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Pejuang Hamas turut merampas 251 tebusan. Daripada jumlah ini, 116 kekal di Gaza, walaupun tentera berkata, 41 daripadanya mati.

Serangan balas tentera Israel menyebabkan sekurang-kurangnya 37,232 orang terbunuh di Gaza, juga kebanyakan orang awam, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 11:54 AM