398 majikan di Johor memohon untuk pemberhentian pekerja. FOTO Arkib NSTP
398 majikan di Johor memohon untuk pemberhentian pekerja. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

SERAMAI 15,597 pekerja di negeri ini mengalami pengurangan gaji dan diberhentikan kerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, data itu diperoleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor berdasarkan permohonan 398 majikan yang memohon untuk pemberhentian pekerja.

"Selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerja 1955, pihak majikan diwajibkan untuk mengemukakan sebarang penyata perihal pekerja sama ada pengambilan atau pemberhentian pekerja melalui Borang PK.

"Permohonan majikan untuk pemberhentian tetap membabitkan seramai 1,443 pekerja, pemberhentian sukarela (180), pemberhentian sementara (2,864) dan pengurangan gaji (11,110)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, bagi memastikan majikan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan ketika PKP, JTK Johor mewujudkan Skuad Khidmat Cepat (SKC) dalam pengendalian aduan secara bersama dengan Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja (JKKP) berdasarkan bidang kuasa jabatan masing-masing.

"JTK Johor dan JKKP akan menghubungi majikan bagi memberi nasihat untuk mematuhi Akta 342 dan sekiranya majikan masih gagal untuk mematuhi arahan berkenaan, Pasukan Petugas Khas (PPK) akan memanggil majikan untuk hadir ke pejabat bagi tujuan pematuhan arahan yang dikuat kuasa.

"Jika majikan masih ingkar arahan, PPK akan membuat lawatan ke atas premis majikan dan jika perlu boleh membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, pemerhatian dan pemantauan juga dilakukan terhadap majikan dan Syarikat Penyedia Penginapan Berpusat (CLQ) yang terbabit secara langsung dalam mengurus tempat kediaman bagi pekerja asing yang ada di negeri ini.

Katanya, sebanyak 26 CLQ ada di negeri ini sudah diberi edaran berkenaan prosedur standard operasi (SOP) dalam tempoh PKP bagi memastikan tiada penularan virus Covid-19 kepada pekerja asing yang tinggal di asrama.

"Bagi majikan yang menyediakan penginapan sendiri turut diberi khidmat nasihat supaya sentiasa mementingkan aspek kebersihan di kawasan penginapan pekerja dan sentiasa menjaga jarak sosial di antara pekerja bagi memastikan tiada penularan wabak itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 12:54 PM