BANGKAI pesawat berkenaan. FOTO Garry Kozak
BANGKAI pesawat berkenaan. FOTO Garry Kozak
Agensi

Washington: Pesawat persendirian yang hilang sejak 53 tahun lalu ditemukan di Tasik Champlain, Vermont, lapor CBS News.

Pasukan pencarian di Amerika Syarikat (AS) berkata, mereka baru-baru ini menemukan serpihan jet peribadi yang membawa dua anak kapal dan tiga pekerja firma hartanah Atlanta, Cousins Properties.

Pesawat itu terhempas ke dalam tasik ketika dalam penerbangan dari Burlington, Vermont ke Providence, Rhode Island, pada 1971.

Tasik Champlain, yang bermula dari sempadan Vermont dan New York sehingga ke Kanada, dengan ukuran 22.5 kilometer (km) di rentasan yang paling lebar.

Sekurang-kurangnya 17 operasi bagi mencari lima penumpang lelaki itu dilakukan sejak 1971, masing-masing menggunakan teknologi yang semakin canggih dan lebih baharu, namun pesawat itu gagal ditemukan.

Ketua pasukan pencarian, Garry Kozak berkata, pesawat itu disyaki terhempas selepas dilaporkan hilang ketika cuaca buruk.

Dalam pengesanan yang dibuat pada 2023, kata Kozak, beliau menganalisis data sonar lama dan mengenal pasti potensi yang boleh menjadi kebarangkalian lokasi akhir pesawat berkenaan 'berkubur', iaitu di barat pulau Juniper.

Setahun kemudian, pasukan pencarian diketuai Kozak kembali ke tasik berkenaan dengan membawa peralatan canggih yang mampu berfungsi di dasar tasik itu.

Hasilnya, teknologi berkenaan berjaya merakamkan visual resolusi tinggi bangkai pesawat yang menunjukkan panel pintu, dengan satu daripada dua enjin termasuk alatan di bahagian kokpit pesawat berkenaan.

"Saya sangat gembira kerana kami menemukannya, dan saya bersyukur untuk ahli keluarga yang masih ada.

"Selepas bertahun-tahun menunggu tanpa kepastian, kami harap penemuan terbaharu ini dapat memberi ketenangan kepada ahli keluarga," katanya.

Kozak menjelaskan, pada masa kejadian, menara kawalan kehilangan semua hubungan radar dengan pesawat berkenaan dan tiada komunikasi kecemasan diterima.

Justeru, pegawai mengesyaki bahawa pesawat itu berkemungkinan besar terhempas ke dalam tasik, walaupun tiada bukti fizikal pada masa itu.

Kozak berkata, beliau berkongsi visual itu dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) untuk membantu pasukan forensik mereka dalam mengesahkan bahawa bangkai pesawat itu adalah jet sama yang hilang 53 tahun lalu.

Buat masa sekarang, Kozak hanya berkongsi koordinat tepat lokasi bangkai itu dengan keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 11:03 AM