KETUA Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. FOTO arkib NSTP
KETUA Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini dua laporan polis dibuat iaitu daripada adik kepada bapa Zayn yang tidak berpuas hati dengan kandungan di Telegram Edisi Siasat (ES) manakala satu lagi laporan dibuat oleh pegawai penyiasat kes.

Menurutnya, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (Pendedahan Maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).

"Orang ramai diminta tidak berkongsi kandungan yang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, perbuatan seumpama ini bukan saja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah.

"Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana individu didapati berkongsi kandungan terbabit," katanya.

Sementara itu, peguam keluarga Zayn, Fahmi Abd Moin berkata, pihak keluarga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Subang pada jam 6.40 petang semalam.

"Buat masa ini pihak keluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Polis juga sudah memaklumkan akan bekerjasama dengan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) untuk menurunkan kandungan terbabit," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini keluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan namun jika kandungan itu masih tersebar di media sosial, pihaknya akan mengambil tindakan seterusnya mengikut peruntukan undang-undang.

Terdahulu, Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama MCMC berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 11:35 AM