HU dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun dan denda AS$4134 (kira-kira RM19,000).
HU dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun dan denda AS$4134 (kira-kira RM19,000).
Agensi

Beijing: Seorang wanita berusia 40 tahun dari China jatuh cinta dengan 'scammer' dan membantu lelaki itu menipu orang lain, walaupun sudah ditipu sebanyak AS$14,000 (kira-kira RM66,000).

Dia percaya bahawa lelaki itu dipaksa 'memenuhi kuota' oleh kumpulan penipuan di Myanmar, dan bersetuju untuk membantu membebaskannya supaya mereka dapat bersama di China.

Wanita itu dikenali sebagai Hu, dari Shanghai, bertemu lelaki itu, dikenali sebagai Chen, dalam platform janji temu dalam talian, pada Mei tahun lalu.

Chen meyakinkan Hu bahawa dia seorang yang baik dan mendakwa mempunyai akaun pelaburan dengan pulangan tinggi, seterusnya memujuk wanita terbabit untuk melabur.

Hu kemudian mendapati dia tidak boleh mengeluarkan wang itu dan menyedari dia ditipu.

Chen kemudian memberitahu Hu dia terperangkap dalam kumpulan penipuan di utara Myanmar dan perlu memenuhi 'kuota tertentu', sebelum dia boleh kembali ke China.

Walaupun mengetahui identiti sebenar lelaki itu, dia terus menjalinkan hubungan dengan penipu berkenaan.

Chen berjanji dia akan kembali ke China sebaik sahaja 'memenuhi kuotanya', mendorong Hu untuk membantu lelaki itu dengan memudahkan pemindahan wang penipuan.

Dia memberi jaminan bahawa selagi Hu tidak mengambil komisen dan mengekalkan peranannya sebagai mangsa, wanita itu akan selamat.

Akibat 'buta cinta', Hu patuh mengikut arahan Chen dan menggunakan akaun bank miliknya untuk menerima dan 'mencuci' wang melalui pengeluaran tunai dan penukaran mata wang kripto.

September lalu, seorang lagi mangsa, bernama Zhao, turut ditipu daripada AS$14,000 (kira-kira RM66,000) oleh Chen, yang dipindahkan terus ke akaun Hu.

Polis kemudian menahan Hu pada 19 September tahun lalu. Semasa perbicaraannya, Hu mengaku salah dan keluarganya memberi pampasan kepada Zhao untuk semua kerugian.

Pada 8 Mei, mahkamah di Shanghai mendapati Hu bersalah atas tuduhan penipuan. Bagaimanapun, memandangkan wanita itu tidak mendapat keuntungan daripada jenayah itu dan sudah membayar pampasan kepada mangsa, dia dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun (yang dibenarkan ditangguhkan) dan denda AS$4,134 (kira-kira RM19,000).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 12:09 PM