LERENG bukit yang runtuh diletakkan dengan kain kanvas bagi mengurangkan pergerakan tanah ketika tinjauan kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa. FOTO Aizuddin Saad
LERENG bukit yang runtuh diletakkan dengan kain kanvas bagi mengurangkan pergerakan tanah ketika tinjauan kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

PENDUDUK kawasan berhampiran Taman Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh Sabtu lalu, tidak perlu bimbang walaupun pergerakan tanah di kawasan itu masih aktif.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata ini kerana pemantauan gerak cerun secara manual sejak dua hari lalu mendapati pergerakan tanah yang aktif mengikut kawasan berbeza.

"Pergerakan tanah ada berlaku tetapi penduduk tidak perlu bimbang kerana kawasan rumah yang lain berada dalam keadaan tidak berisiko berbanding kawasan rumah terjejas.

"Namun, kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dan pemantauan dari semasa ke semasa akan dilakukan. Setakat ini, Majlis Perbandaran Ampang Jaya melalui kontraktor yang dilantik, telah menutup rekahan tanah dengan kanvas seluas 1,200 meter persegi bagi mengelakkan berlaku mendapan tanah," katanya.

Ahmad Fairuz berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja baik pulih kawasan kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan itu, hari ini.

Ahmad Fairuz berkata, penanaman dinding besi bagi menahan pergerakan tanah di Sungai Sering juga dilaksanakan dan proses itu dijangka siap esok sebelum proses membaiki struktur anak sungai dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Proses baik pulih cerun ini akan memakan masa enam bulan untuk siap dan penduduk terjejas dinasihat mengosongkan rumah atas faktor keselamatan ," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata tujuh anggota akan memantau dan berkawal dalam tempoh dua minggu ini bagi memastikan kawasan kejadian dan rumah penduduk selamat.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati masih ada penduduk yang terjejas pulang ke rumah untuk mengambil barang selepas diarah mengosongkan rumah susulan kejadian tanah runtuh tersebut.

Difahamkan penduduk hanya boleh mengambil barang di rumah tetapi tidak boleh mendiami rumah mereka dalam tempoh dijangka enam bulan susulan kerja baik pulih yang dijalankan di kawasan itu.

Sabtu lalu, tujuh rumah teres dua tingkat di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay terjejas oleh kejadian tanah runtuh di bahagian belakang kediaman terbabit menyebabkan 32 orang daripada enam keluarga diarah meninggalkan rumah masing-masing.

Mereka kini ditempatkan di Hotel De Palma, Ampang selama seminggu sebelum mencari kediaman lain.

Berita berkaitan:

  • Pasukan khas pantau cerun bukit
  • MPAJ tutup kawasan retak, rekahan
  • Pokok rambutan tiba-tiba ghaib
  • Tanah runtuh, 40 diarah tinggalkan rumah [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 2:37 PM