ANGGOTA bomba memantau keadaan kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay. FOTO Aswadi Alias
ANGGOTA bomba memantau keadaan kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay. FOTO Aswadi Alias
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


"POKOK rambutan di belakang rumah tiba-tiba hilang dan tanah semakin merekah sebelum saya melihat pergerakan tanah," kata Syed Zulkifli Syed Masir, 58, penduduk Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa yang diancam tanah runtuh.

Pengerusi Persatuan Taman Kelab Ukay (TKURA) itu berkata, kejadian berlaku pada 2.21 pagi susulan hujan lebat di kawasan berkenaan.

"Saya diberitahu penduduk diminta keluar dari rumah apabila dimaklumkan berlaku tanah runtuh.

"Sejurus itu saya menghubungi bomba dan pasukan penyelamat yang tiba kira-kira 10 minit kemudian dan mengarahkan penghuni meninggalkan kediaman masing-masing," katanya ketika ditemui.

Syed Zulkifli berkata, kejadian berlaku amat pantas dan tanah yang merekah di belakang rumah dilihat semakin besar.

"Bila kami ke belakang rumah, tanah merekah dilihat semakin besar dan ada pergerakan. Pokok di belakang rumah hilang kerana menggelongsor ke bawah.

"Ketika ini kawasan berkenaan dipantau pasukan penyelamat dan agensi berkaitan. Buat sementara penduduk akan tinggal di sebuah hotel bagi tempoh dua hari," katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamarudin berkata, pihaknya meluluskan peruntukan segera RM2 juta bagi membina tembok penahan di kawasan tanah runtuh yang menjejaskan tujuh kediaman di Taman Kelab Ukay.

Menurutnya, selain kerja membina tembok penahan, agensi yang terbabit juga akan menjalankan kerja menambah baik sistem aliran anak sungai yang terletak di belakang kediaman penduduk terjejas.

"Kita diberitahu MPAJ, anggaran kos awal yang diperlukan untuk kerja membina tembok penahan memakan kos sekitar RM2 juta dan proses itu akan mengambil masa seawal-awalnya enam bulan untuk disiapkan.

"Penduduk diminta mengosongkan kediaman masing-masing dalam tempoh 48 jam dan mereka perlu mencari kediaman sementara selama enam bulan, sementara kontraktor dilantik MPAJ menyiapkan kerja mereka," katanya selepas membuat tinjauan di lokasi runtuhan.

Berita berkaitan

Tanah runtuh, 40 diarah tinggalkan rumah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 2:54 PM