KONTRAKTOR melakukan kerja membaiki  struktur tanah. FOTO Fathil Asri.
KONTRAKTOR melakukan kerja membaiki struktur tanah. FOTO Fathil Asri.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KERJA-kerja membaiki struktur tanah di kawasan tanah runtuh yang menjejaskan tujuh kediaman di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa dekat Ampang sedang giat dijalankan.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati, kontraktor dan anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang giat menjalankan kerja itu.

Kawasan berkenaan juga dilihat ditutup dan penduduk tidak dibenarkan masuk kerana kerja pembersihan turut dilakukan.

Sementara itu, Jurucakap MPAJ ketika dihubungi berkata, kerja menutup permukaan retak sedang dilaksanakan.

"Hari ini hanya kerja pengukuran dilaksanakan di tapak. Esok kerja penyiasatan dan pengukuran tanah di setiap tujuh rumah yang terjejas akan dilaksanakan," katanya.

Semalam, seramai 40 penghuni di tujuh rumah di Taman Kelab Ukay, diarah meninggalkan kediaman masing-masing susulan berlaku tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 2.21 pagi dan sebuah jentera dengan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ampang di hantar ke lokasi untuk membuat pemantauan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraidah Kamarudin juga dilaporkan berkata, pihaknya meluluskan peruntukan segera RM2 juta bagi membina tembok penahan di kawasan tanah runtuh yang menjejaskan tujuh kediaman itu.

Beliau dipetik berkata, selain kerja membina tembok penahan, agensi yang terbabit juga akan menjalankan kerja menambah baik sistem aliran anak sungai yang terletak di belakang kediaman penduduk terjejas.

Berita berkaitan

Pokok rambutan tiba-tiba ghaib

Tanah runtuh, 40 diarah tinggalkan rumah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 5:29 PM