ANGGOTA penguatkuasa DBKL menyita premis perniagaan membabitkan warga asing. FOTO ihsan DBKL
ANGGOTA penguatkuasa DBKL menyita premis perniagaan membabitkan warga asing. FOTO ihsan DBKL
Mahaizura Abd Malik


SERATUS premis perniagaan dikendalikan warga asing di sekitar ibu kota ditutup serta-merta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu sehingga kini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tindakan khas itu diambil terhadap premis berkenaan kerana beroperasi tanpa kebenaran selaras dengan peruntukan Seksyen 101 (1) (V) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu pihaknya turut mengeluarkan kompaun berjumlah lebih RM30,000 kepada pemilik lesen dan premis yang bersubahat menyalahgunakan kemudahan diberi kerajaan.

"Tindakan diambil termasuk premis yang warga asing menyewa daripada warga tempatan serta orang kita yang ada lesen perniagaan tetapi menyewakan lesen itu serta membuka premis secara haram.

"Tindakan sama turut diambil kepada premis pemilik tempatan yang mengupah pekerja asing yang tiada permit sah kerja dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Lesen Bandaraya iaitu menyita, menutup premis, tarik balik lesen serta mengenakan kompaun kepada pemilik bangunan atau premis sehingga mereka patuh kembali kembali kepada perundangan itu," katanya kepada Harian Metro di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, katanya, DBKL tidak mempunyai kuasa menahan warga asing terbabit sebaliknya hanya bertindak membabitkan lesen perniagaan saja, namun pihaknya sentiasa bekerjasama dengan JIM dan polis bagi memantau pergerakan warga asing.

Menurutnya, tindakan khas itu juga dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 4:02 PM