DBKL dengan kerjasama KPDN, PDRM dan JIM menggempur premis di Jalan Petaling dalam operasi bersepadu, semalam. FOTO ihsan DBKL
DBKL dengan kerjasama KPDN, PDRM dan JIM menggempur premis di Jalan Petaling dalam operasi bersepadu, semalam. FOTO ihsan DBKL
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 44 warga asing yang bekerja di pelbagai premis di Jalan Petaling, di sini ditahan dalam Operasi Bersepadu Bersama Agensi Sahabat, semalam.

Operasi dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula jam 11.30 pagi.

Pengarah Penguat Kuasa DBKL, Osman Ismail berkata, pihaknya menyerbu tujuh premis yang menjual pakaian, beg, aksesori dan restoran.

"Seramai 90 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 44 orang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"KPDN juga membuat tujuh tindakan ke atas premis stor simpanan barangan cap dagangan membabitkan 37 jenama terkenal serta membuat tindakan sita pelbagai barangan dan peralatan perniagaan selain menahan dua pengendali premis untuk tindakan lanjut mengikut kesalahan Akta Cap Dagangan 2019," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, DBKL menutup serta-merta dua premis yang dikendalikan oleh warga asing serta mengeluarkan empat notis kompaun.

"Mereka didapati melakukan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, penggajian warga asing dan halangan tempat awam.

"Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, UUK Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya.

Katanya, tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi sahabat akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang lain di sekitar ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 12:12 PM