ANTARA pengunjung di sebuah pusat hiburan di Dataran Square, Petaling Jaya yang dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.
ANTARA pengunjung di sebuah pusat hiburan di Dataran Square, Petaling Jaya yang dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN 31 individu mengunjungi sebuah pusat hiburan di Dataran Square, Petaling Jaya semalam, mengundang padah apabila dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan jam 9.15 malam itu susulan maklumat orang awam.

Katanya, pemeriksaan mendapati 36 individu membabitkan pekerja dan pengunjung terdiri daripada 25 lelaki dan 11 wanita berusia 20 hingga 58 tahun di dalam premis berkenaan.

"Seramai 22 lelaki dan sembilan wanita tempatan dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana berkumpul melebihi 20 orang.

"Tindakan itu diambil selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan san Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah.

"Dua lelaki warga asing masing-masing berusia lingkungan 20-an turut ditahan kerana melanggar syarat visa lawatan dengan bekerja sebagai pelayan di premis berkenaan.

"Bagaimanapun, dua pekerja warga asing itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas membuat semalam dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 4:39 PM