SERAMAI 16 warga asing dari Bangladesh dan India ditahan dalam serbuan dilakukan DBKL dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Plaza Low Yatt, di sini semalam. FOTO DBKL
SERAMAI 16 warga asing dari Bangladesh dan India ditahan dalam serbuan dilakukan DBKL dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Plaza Low Yatt, di sini semalam. FOTO DBKL
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sektor pekerjaan yang tertera pada permit kerja adalah pekerja pembersihan, namun bekerja sebagai 'pakar' teknologi maklumat.

Itu antara kesalahan dikesan dilakukan warga asing dari Bangladesh dan India dalam serbuan di Plaza Law Yatt, di sini, semalam.

Dalam operasi dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula jam 10 pagi itu berjaya menahan 16 warga asing.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, dalam serbuan itu sebanyak 10 premis diperiksa dan didapati melakukan pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak mempunyai lesen perniagaan dan menggajikan warga asing tanpa kebenaran sah.

"Tindakan terhadap warga asing diambil JIM yang turut sama dalam operasi terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Osman berkata, selain tindakan tutup serta-merta terhadap tiga premis itu pihaknya turut mengeluarkan notis mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 20 (1) (b) undang-undang kecil pelesenan tred, perniagaan dan perindustrian (WPKL) 2016.

"Tiga notis mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) undang-undang kecil perlesenan tred, perniagaan dan perindustrian (WPKL) 2016 turut dikeluarkan.

"Semua tangkapan dibawa ke pejabat JIM Jalan Duta untuk proses siasatan dan dokumentasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 6:16 PM