BANGUNAN Parlimen. FOTO Aswadi Alias
BANGUNAN Parlimen. FOTO Aswadi Alias
Mohd Firdaus Ibrahim dan Amir Abd Hamid dan Sri Ayu Kartika Amri


DUA Ahli Parlimen antara 10 individu yang tidak hadir menjalani saringan wabak Covid-19 berakhir kelmarin.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan dua Ahli Parlimen berkenaan tidak hadir saringan dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mereka sedang menjalani kuarantin.

Mengulas lanjut, katanya, dua Ahli Parlimen berkenaan sedang menjalani tempoh kuarantin berikutan mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

"KKM sudah mengenal pasti seramai 960 individu di bangunan Parlimen termasuk 222 Ahli Parlimen dan selebihnya kakitangan Parlimen.

"Daripada jumlah itu, hadir untuk saringan adalah 950 individu dan keputusan ujian mendapati semua keputusan 950 itu negatif.

"Seramai 10 yang tidak hadir, lapan daripadanya adalah warga kerja Parlimen dan ada dua Ahli Parlimen sedang dalam tempoh jalani kuarantin sebab ada kontak rapat dengan pesakit yang positif," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata, semua wakil rakyat dan petugas pada persidangan Dewan Rakyat, esok, perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Katanya, langkah itu adalah bagi membendung penularan wabak maut terbabit dan sebagai sebahagian daripada amalan normal baharu.

Dewan Rakyat bersidang hanya sehari esok selepas mengambil kira keadaan semasa terutama dalam membendung pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, persidangan itu hanya membabitkan perasmian pembukaan dan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta tiada usul lain selepas itu.

Persidangan Parlimen esok adalah yang pertama sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 5:50 PM