Ekhwan Haque Fazlul Haque


PELANGGAN tetap restoran nasi kandar di Pekan Napoh menjadi individu terbaharu dikesan positif dalam Kluster Sivagangga selepas selesai menjalani saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes ke-9,000 itu sudah menjalani ujian di klinik swasta pada 27 Julai lalu namun dia disahkan negatif Covid-19.

Menurutnya, pada 31 Julai lalu, individu terbabit dikatakan mengalami gejala deman dan batuk namun tidak pergi menjalani rawatan lanjut di klinik kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk rawatan segera.

"Selepas pembabitan dalam aktiviti Aidiladha sehari kemudian, kes berkenaan memaklumkan dia adalah kontak rapat dengan kes indeks manakala susulan daripada itu ujian RT-PCR dijalankan sebelum disahkan positif dan kini menerima rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Sultanah Bahiyah," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya, hari ini.

KAKITANGAN Kementerian Kesihatan mengambil sampel seorang penduduk yang melakukan ujian saringan berikutan  penularan Covid-19 yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga. FOTO Amran Hamid
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan mengambil sampel seorang penduduk yang melakukan ujian saringan berikutan penularan Covid-19 yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga. FOTO Amran Hamid

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, 425 orang sudah disaring di kawasan berkenaan dan 21 daripadanya disahkan positif Covid-19 manakala 362 negatif selain 42 lagi masih menunggu keputusan.

Katanya, mereka yang makan di restoran berkenaan atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang positif daripada kluster berkenaan digesa untuk menjalani ujian saringan segera.

"Bagaimanapun, mereka yang berada di daerah berkenaan namun tidak terdedah kepada individu yang positif tidak perlu untuk menjalani ujian namun mereka dinasihatkan untuk datang sekiranya terdedah kepada individu dari kluster berkenaan.

"Orang ramai sewajarnya tampil dan tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti kontak rapat dengan kes positif Covid-19 kerana ini adalah tanggungjawab untuk membendung penularan wabak ini di dalam negara," katanya.

Kluster Sivagangga ini bermula daripada seorang pemastautin tetap yang pulang ke Malaysia dari Sivagangga di India pada 13 Julai dan saringan Covid-19 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) didapati negatif.

Individu berkenaan diarah menjalani perintah kuarantin di rumah tetapi tidak mematuhi perintah berkenaan namun sebelum saringan ulangan didapati positif dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:18 PM