Dewan Rakyat. FOTO Arkib NSTP.
Dewan Rakyat. FOTO Arkib NSTP.
Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Parlimen Malaysia menetapkan sesi ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu buat 222 Ahli Parlimen pada 30 Oktober ini, bagi membolehkan persidangan Dewan Rakyat bermula 2 November.

Ujian itu akan dilakukan di tempat letak kereta blok utama Parlimen di sini, bermula 9 pagi hingga 5 petang, menurut surat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Bacha Mydin.

Menurut surat itu lagi, ujian saringan Covid-19 wajib ke atas semua ahli parlimen dan mana-mana pihak yang gagal melaksana ujian atau didapati positif, tidak dibenarkan menghadiri persidangan.

Sementara Ahli Parlimen dari Sabah perlu menjalani kuarantin terlebih dahulu berdasarkan surat bertarikh 9 Oktober lalu.

Dalam pada itu, kelonggaran turut diberikan kepada Ahli Parlimen untuk menjalani ujian di mana-mana fasiliti kerajaan dan swasta sekiranya sukar menghadiri sesi ujian pandu lalu dilaksana Parlimen.

Bagaimanapun, surat itu menyebut kos ujian itu atas pembiayaan Ahli Parlimen sendiri dan ujian perlu menggunakan kaedah Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) serta dilaksana tiga hari sebelum persidangan bermula.

Keputusan ujian perlu dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat melalui e-mel, [email protected].

Ahli Parlimen digalakkan supaya kekal di Kuala Lumpur sepanjang persidangan berlangsung bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Rakyat akan berlangsung selama 27 hari, mulai 2 November hingga 15 Disember depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 2:10 PM