Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Individu yang pulang dari Sabah, mendapat keputusan negatif selain tidak bergejala dan tidak mempunyai kontak rapat dengan individu positif tidak diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, namun mereka dinasihatkan menjalani kawalan kendiri termasuk berada di rumah sehingga tamat tempoh 14 hari itu.

"Bagi kes positif yang dikesan, tidak ada isu kerana dia terus ke hospital, kes negatif tetapi ada kontak rapat pula akan dikuarantin.

"Manakala mereka yang negatif, tidak bergejala dan tidak mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif akan diberi tempoh kuarantin di rumah sehingga mendapat keputusan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, individu berkenaan juga dinasihatkan tampil ke Pusat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan untuk membuat ujian swab pada hari ke-13 bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada Covid-19.

"KKM akan meningkatkan lagi saringan dalam komuniti, kalau kita lihat kita sudah berjaya menamatkan 99 kluster bererti kita berjaya menggunakan amalan kesihatan awam.

"Kita akan menggunakan kaedah intervensi kesihatan awam di Sabah namun apa yang penting kini adalah untuk kita meningkatkan lagi ujian saringan," katanya.

DR Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 8:09 PM