KES perselisihan faham antara penghantar makanan dan pengawal keselamatan yang viral di media sosial sejak semalam. FOTO ihsan Facebook
KES perselisihan faham antara penghantar makanan dan pengawal keselamatan yang viral di media sosial sejak semalam. FOTO ihsan Facebook
Ruwaida Md Zain


MALANG nasib seorang penghantar makanan apabila kepalanya cedera dipukul seorang pengawal keselamatan warga asing ketika membuat penghantaran makanan di sebuah pangsapuri di Setia Alam, Shah Alam, Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, dia dipercayai membuat penghantaran makanan kepada pelanggan yang memesan juadah untuk berbuka puasa.

Kejadian pergaduhan membabitkan penghantar makanan dan pengawal keselamatan itu viral di media sosial sejak semalam terutamanya di Facebook.

Terdapat beberapa gambar yang viral itu menunjukkan pengawal keselamatan itu memegang rantai besi yang dipercayai digunakan untuk memukul penghantar makanan selain gambar kepala mangsa berdarah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan di mana kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis di balai berhampiran.

"Rakaman percakapan dibuat berhubung kejadian yang berpunca akibat perselisihan faham di antara kedua pihak berhubung tempat letak motosikal.

"Pengawal keselamatan itu cuba bertindak mengunci motosikal itu hingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan pergaduhan.

"Kedua-dua pengadu mengalami kecederaan luaran di bahagian kepala dan badan serta mendapat rawatan pesakit luar sahaja di hospital berhampiran," katanya tadi.

Baharudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 160Kanun Keseksaan (Gaduh Gempar) dan boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda sehingga RM1000 atau kedua-duanya sekali.

"Polis menasihati semua pihak untuk mematuhi undang-undang di mana saja berada dan tidak mengambil tindakan sendiri.

"Disamping itu diharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden yang terjadi kerana pihak polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya perkara ini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 4:55 PM