RAKAMAN tular pergaduhan membabitkan tiga lelaki di Dungun. FOTO tular
RAKAMAN tular pergaduhan membabitkan tiga lelaki di Dungun. FOTO tular
Rosli Ilham


Dungun: Pergaduhan membabitkan tiga lelaki di tepi jalan di hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), dekat sini, pagi semalam, dikatakan berpunca daripada pemandu sebuah kenderaan bertindak menghalang sebuah kenderaan yang hendak memotong.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pergaduhan yang berlaku jam 8.30 pagi tadi itu dirakam pengguna jalan raya sebelum tersebar di laman sosial.

Menurutnya, dalam rakaman video itu, seorang lelaki berbaju putih bergelut dengan lelaki berbaju hitam serta kelihatan seorang lelaki berkopiah turut terbabit dalam pergaduhan itu.

"Pergaduhan itu berlaku ekoran rasa tidak puas hati ketika salah seorang pemandu tidak memberi laluan untuk memotong kenderaan.

"Kedua-dua pihak membuat laporan polis dan kita mengambil keterangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun serta satu kertas siasatan dibuka," katanya.

Baharudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan (memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan raya), Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera dan ugutan jenayah).

"Kes ini masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut dalam masa terdekat.

"Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Baharuddin berkata, berikutan kejadian itu, pihaknya menasihati semua pengguna jalan raya agar lebih bertolak ansur dan mematuhi peraturan jalan raya serta tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 11:27 AM