TANGKAP layar kejadian gaduh yang tular di laman sosial
TANGKAP layar kejadian gaduh yang tular di laman sosial
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menerima laporan berhubung kejadian pertengkaran penghantar makanan dan pengawal keselamatan di sebuah bangunan di ibu kota, seperti tular di media sosial hari ini.

Menerusi dua rakaman video berdurasi tiga minit 15 saat dan dua minit 15 saat menunjukkan berlaku perselisihan faham antara dua lelaki itu.

Berdasarkan hantaran pada video berkenaan, penghantar barangan itu dinafikan masuk ke dalam bangunan tetapi penerima bertegas supaya penghantar masuk ke bangunan berkenaan.

Penghantar itu dikatakan memarahi pengawal terbabit menyebabkan dia memanggil rakan sekerjanya untuk mendapatkan bantuan sebelum tercetus pergaduhan.

Pergaduhan berlaku antara penghantar dan seorang lelaki memakai jaket merah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nazron Abd Yusof berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.

"Polis sudah mengenal pasti saksi kejadian dan memanggil mereka untuk diambil keterangan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu dan tidak mengganggu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 8:31 PM