RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis menjalankan siasatan berhubung penyebaran video membabitkan pergaduhan antara beberapa remaja di Kompleks Akademi Bola Sepak Merah Kuning, U10 Bukit Cherakah, di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku pada 22 Mac lalu, kira-kira jam 11 malam semasa perlawanan akhir Liga Saujana Putra di antara Bandar Putra 2 FC dan Copy Ori FC di Kompleks Akademi Bola Sepak Merah Kuning.

"Pergaduhan berlaku apabila seorang penyokong wanita berumur 21 tahun dari Bandar Putra 2 FC membaling tong sampah dan terkena salah seorang penyokong Copy Ori FC.

"Siasatan mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan provokasi di antara penyokong kedua-dua pasukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, kes diselesaikan secara baik dan kedua-dua belah pihak sudah berdamai malah tiada kecederaan dialami.

"Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan terhadap video yang tular ini mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Mana-mana individu dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video yang tular ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 9:45 PM