Azrul Affandi Sobry


"KITA nak beli makanan di mana? Apa kata kita cuba nasi lemak sambal 'power' dan air tembikai Abang Misai di Pantai Dalam. Asyik ke Bangsar saja, ubahlah selera ke Pantai Dalam pula."

Itu antara isi perbualan rakan media setiap petang sebelum tiba waktu berbuka puasa. Ia bagai sudah menjadi satu rutin berbincang sesama mereka lokasi bazar Ramadan mana yang mahu dikunjungi, selain apakah menu yang mahu dibeli.

Antara lokasi yang paling menjadi tumpuan adalah bazar Ramadan Pantai Dalam yang sentiasa sesak seawal jam 5 petang setiap hari dalam bulan puasa, ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas ke situ lantaran kepadatan penduduk di situ.

Paling tidak, jika mahu menukar selera, kami akan ke bazar Ramadan Jalan Telawi, Bangsar atau 'lajak' sedikit ke Taman Tun Dr Ismail kerana menu di sana berbeza dengan apa yang ada di Pantai Dalam.

Bagi penulis sendiri, jika tidak bekerja, lokasi paling gemar dikunjungi dalam Ramadan adalah Taman Delima, Kajang atau ke Lake Valley Bandar Tun Hussein Onn, Cheras kerana antara menu istimewa, Murtabak Pak Ali dan Roti John Cheese Leleh sentiasa dikenang-kenang.

Namun, semua itu hanya mampu dirindui kerana tahun ini semua tapak bazar Ramadan yang dulunya kecoh, riuh rendah seawal jam 5 petang kini sunyi sepi dan umpama Ramadan belum tiba.

Terasa juga kekok dan janggalnya kerana tahun demi tahun, semua lokasi ini sentiasa meriah dan umpama nadi penyeri kepada kemeriahan Ramadan. Gelagat pembeli yang penuh tangan dengan juadah adalah warna warni di bazar Ramadan.

Jerit pekik memanggil pembeli kini hanya diisi dengan bunyi deruman enjin kenderaan kerana semua jalan itu yang dulunya akan ditutup setiap kali Ramadan, kini bebas dimasuki kenderaan tanpa ada kelibat gerai jualan.

Tentu sekali ini satu kerinduan mahu merasa makanan enak seperti murtabak, roti john, nasi kerabu, popia, air tembikai, nasi lemak sambal power, tepung pelita dan banyak lagi.

Namun, ini juga satu pengorbanan untuk satu kebaikan. Arahan kerajaan untuk kekal duduk di rumah adalah sesuatu yang wajar dipatuhi meskipun sukar untuk ditempuh selepas berpuluh tahun menikmati meriahnya detik berbuka puasa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 6:27 PM
    AYAM golek antara makanan yang jadi tumpuan orang ramai ketika membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Pantai Dalam. FOTO NSTP
    AYAM golek antara makanan yang jadi tumpuan orang ramai ketika membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Pantai Dalam. FOTO NSTP