BAZAR Ramadan Rahmah di People’s Park. FOTO BERNAMA
BAZAR Ramadan Rahmah di People’s Park. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Ipoh: Bazar Ramadan Rahmah di People's Park di sini, menyajikan pelbagai juadah di bawah RM5 dengan menu berkualiti untuk pengunjung membuat pilihan mendapatkan makanan atau minuman bagi persediaan berbuka puasa.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat 20 gerai di bazar itu yang beroperasi bermula 3 petang hingga 7.30 malam dengan rata-rata makanan atau minuman dijual pada harga bawah RM5, seperti Roti John, meatball, popia dan murtabak.

Peniaga mi goreng Mohamad Izzat Hamdi Mohamad Norhisham, 23, berkata, kewujudan bazar itu memberi peluang kepadanya untuk mencari rezeki dan menganggap inisiatif yang digerakkan kerajaan itu sangat membantu peniaga kecil.

"Lokasi ini strategik namun saya lihat kena ada lebih banyak promosi dan hebahan dilakukan terhadap Bazar Ramadan Rahmah bagi menarik kehadiran orang ramai.

"Masyarakat sudah terbiasa apabila setiap kali tibanya Ramadan sudah ada lokasi bazar tumpuan yang akan mereka pergi, jadi bazar baharu sebegini mungkin ambil masa sikit (untuk diketahui)," katanya ketika ditemui di sini.

Bagi peniaga tortilla, Muhammad Ezzat Rosli, 25, berkata, dia akan terus berniaga di situ hinggalah tamat bulan Ramadan dan berharap bazar itu akan mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung.

"Buat masa ini kami peniaga di sini pun ada buat promosi melalui aplikasi TikTok dan laman media sosial yang lain, cuma masih belum cukup berkesan dan kami akan gandakan usaha," katanya.

Seorang peniaga kuih-muih, Mat Fazril Mat Rabu, 31, berharap lebih ramai pengunjung dapat datang ke bazar itu dan dapat rasai perbezaan dari segi harga dan kualiti juadah yang ditawarkan berbanding lokasi lain.

Sementara itu, seorang pengunjung, Helmi Zakaria, 38, berkata dia terpanggil untuk berkunjung ke bazar itu setelah dimaklumkan rakannya.

"Saya harap ia sedikit sebanyak mampu membantu peniaga di sini yang terdiri daripada peniaga kecil untuk menjana pendapatan mereka.

"Mungkin ramai yang masih belum mengetahui kewujudan bazar di People's Park ini dan sokongan orang ramai ditagih untuk pastikan bazar ini mendapat sambutan," katanya.

Pada 22 Februari lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bagi melaksanakan Bazar Ramadan Rahmah di beberapa lokasi strategik sempena bulan Ramadan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 10:54 AM