AHMAD Faizal. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
AHMAD Faizal. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN Perak akan menyediakan juadah untuk bersahur kepada petugas barisan hadapan yang di sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia antara usaha membantu petugas yang mungkin terkesan berikutan restoran tidak beroperasi pada waktu malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Petugas barisan hadapan seperti di hospital mungkin terkesan terutama waktu sahur kerana kita sedar malam tiada restoran yang dibuka dalam tempoh ini.

"Jadi, hasrat itu sedang diusahakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Norashikin Wan Noordin bagi menyediakan keperluan itu, kita akan mengedarkan makanan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan konsep jualan juadah berbuka puasa secara atas talian Ramadhan e-Village di bawah pengendalian Ipoh Central Kitchen (ICK) di Restoran Simpang Tiga di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, konsep jualan atas talian Ramadhan e-Village yang diperkenalkan ICK itu menggabungkan 36 pengusaha restoran ditempatkan secara berpusat di Restoran Simpang Tiga.

"Mereka kumpulkan makanan pada satu tempat untuk mengurangkan pergerakan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Koordinator ICK, Mohd Iskandar Abdul Rahman berkata, setakat ini sebanyak 30,000 pek makanan sudah diedarkan kepada barisan hadapan sejak hari pertama bermulanya PKP.

Katanya, lanjutan daripada itu ICK yang diusahakan bersama tiga lagi rakannya, Azlan Mohamed Saaid, 56; Mohd Hussain Pak Wan, 60, dan Ahmad Sobree Abbas, 35, memperkenalkan konsep jualan atas talian Ramadhan e-Village bagi membekalkan juadah berbuka puasa yang menggabungkan 35 pengusaha kecil.

"Kita akan mengumpulkan pengusaha yang hendak menjual juadah berbuka puasa tetapi tiada tempat (ketika PKP) ini.

"Juadah yang sudah ditempah pelanggan melalui atas talian boleh dihantar secara COD (bayaran tunai ketika penghantaran) atau bungkus untuk terus dibawa pulang, jadi ia bukan seperti konsep bazar biasa yang orang akan sesak berkumpul," katanya

Katanya, hanya 12 tapak gerai dibuka yang menyediakan lebih 100 menu iaitu kuih-muih dan lauk pauk untuk ditempah pelanggan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 11:20 PM