Mohd Rizal Abdullah


KUALA LUMPUR: “Bukan sekadar lakaran, tetapi lebih kepada meluahkan ekspresi mengikut kreativiti masing-masing,” kata, Ahmad Hakim Ahmad Hilmi, 29.

Dia pengasas kumpulan komuniti pelukis KLSketchnation yang menganjurkan Ramadhan Sketch Challenge 2019 atau Cabaran Lakaran Ramadan 2019 sepanjang bulan puasa ini.

Ahmad Hakim berkata, program yang dimulakan sejak 2014 itu, setiap peserta perlu menghasilkan satu lukisan atau lakaran setiap hari sepanjang Ramadan berdasarkan tema yang diberikan.

Dalam erti kata lain, dalam tempoh itu peserta perlu menghasilkan 30 lukisan dari awal hingga hari terakhir Ramadan.

“Itu cabaran yang perlu dilalui. Nampak mudah, tetapi dengan masing-masing sibuk bekerja memberikan mereka cabaran menghasilkan lukisan masing-masing.

“Selain itu, ia juga membantu mereka menajamkan bakat sedia ada dari semasa ke semasa,” katanya.

Ahmad Hakim yang juga arkitek berkata, lima lukisan terbaik akan diumumkan setiap hari di Instagram @klsketchnation yang mempunyai lebih 14,000 pengikut dari seluruh negara.

Ramadan Sketch Challenge 2019 menyediakan 30 tema, antaranya Moon, Kids, Weapon, Animal, Aquatic, Fancy, Bubble dan Portal.

“Setiap peserta bebas melakar apa saja mengikut kreativiti berpandukan tema itu. Mereka juga bebas menggunakan apa saja medium sama ada pen, pensil, warna air, akrilik dan sebagainya. Apabila siap, mereka perlu memuat naik di Instagram masing-masing,” katanya.

Ahmad Hakim berkata, setakat ini, KLSketchnation mempunyai 85 ahli dari seluruh negara dan aktif mengadakan pelbagai program bersama.

Antaranya pameran lakaran selain program kebajikan bersama anak yatim.

Sementara itu, seorang peserta Ramadhan Sketch Challenge 2019, Ahmad Riadz Mohd Radzi, 45, berkata, dia menyertai program itu kerana mahu mencabar diri menghasilkan satu lukisan setiap hari.

 AHMAD Riadz menunjukkan salah satu sentuhan untuk Cabaran Lakaran Ramadan 2019.
AHMAD Riadz menunjukkan salah satu sentuhan untuk Cabaran Lakaran Ramadan 2019.

“Selain membantu meningkatkan kemahiran melukis, ia juga membantu saya menjadi lebih berdisiplin. Ia juga lebih kepada kepuasan,” katanya yang minat melukis sejak berusia tujuh tahun.

Ahmad Riadz menyertai program berkenaan sejak 2017 berkata, kali ini dia cuba menghasilkan tema kerohanian dan keagamaan bersesuaian dengan bulan Ramadan.

“Contohnya, untuk tema Weapon, saya menghasilkan lukisan mengenai amalan zikir yang boleh dijadikan ‘senjata’ untuk melawan godaan syaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 9:12 AM