TINJAUAN di premis menjual makanan dan minuman sekitar Pasir Pekan, Tumpat yang menjual juadah berbuka puasa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di premis menjual makanan dan minuman sekitar Pasir Pekan, Tumpat yang menjual juadah berbuka puasa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SEAKAN sudah terbiasa dengan penjarakan sosial yang diamalkan sejak lebih sebulan lalu, orang ramai semakin patuh kepada peraturan itu ketika membeli atau memilih juadah untuk berbuka puasa di premis jualan.

Hasil tinjauan yang dilakukan di lebih 10 premis menjual makanan dan minuman sekitar Pasir Pekan, Tumpat, mendapati tiada kesesakan pembelian berlaku meskipun ada dalam kalangan pembeli tidak beratur.

Seorang penjual air kelapa, Siti Aisyah Sulaiman, 34, berkata sejak memulakan jualan 3 petang tadi, orang ramai mulai datang ke gerainya dan terus beratur.

"Ada juga yang enggan menunggu dan cuba memotong barisan, termasuk menerjah gerai seperti sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP), namun kami menasihati mereka agar mematuhi peraturan.

"Walaupun penat berpuasa, itu bukan alasan untuk pembeli mengabaikan peraturan untuk beratur, menjaga jarak dan memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan tindakan oleh pihak berkuasa," katanya ketika ditemui di gerainya, hari ini.

Situasi yang sama kelihatan di restoran menjual roti tempayan yang bukan saja menjual secara langsung, malah menjalankan tempahan secara atas talian serta membuat penghantaran ke rumah pelanggan.

Pemilik premis, Mohd Faizul Rohban Ahmad, 35, berkata, pelanggan yang datang sudah arif mengenai peraturan penjarakan sosial yang perlu dibuat dan jika ada pelanggan dalam kalangan warga emas, dia menyediakan kerusi untuk duduk sementara menunggu giliran tiba.

"Lagipun, kami juga menjalankan tempahan melalui atas talian dan pembeli akan datang mengambil roti atau murtabak sebaik selesai dimasak tanpa perlu beratur panjang," katanya yang sudah 15 tahun menjalankan perniagaan itu.

Sementara itu, seorang pembeli, Ismadi Deraman, 45, menyifatkan beratur dalam keadaan penjarakan sosial lebih menyegerakan urusan jual beli berbanding saling berebut memilih menu dan membuat tempahan.

Dia berkata, jika pada hari biasa, jual beli di gerai yang menjual juadah untuk berbuka puasa agak kelam-kabut disebabkan pembeli enggan menunggu membuatkan mereka saling berebut, tapi situasi pembelian di ketika PKP dilihat agak tenang.

"Mungkin disebabkan kita sudah lali dengan penjarakan sosial dan orang tidak ramai yang keluar membeli juadah kerana masing-masing sudah memasak di rumah menyebabkan sudah tiada lagi keadaan bersesak ketika membeli juadah berbuka puasa seperti sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 8:36 PM