SEORANG pemantau harga KPDNHEP Pahang menyemak harga barang keperluan di sebuah premis perniagaan di Kuantan. FOTO ihsan KPDNHEP
SEORANG pemantau harga KPDNHEP Pahang menyemak harga barang keperluan di sebuah premis perniagaan di Kuantan. FOTO ihsan KPDNHEP
Asrol Awang


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mempertingkatkan pemantauan harga barang keperluan terutama ayam, daging, telur dan ikan selain sayur yang menjadi tumpuan pengguna.

Sehubungan itu, seramai 217 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga KPDNHEP Pahang melakukan pemantauan harga barang keperluan setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Ahmad Fitri Ali berkata, pemantauan itu membabitkan pemeriksaan di 43 pasar awam diikuti 98 pasar raya, 1,357 kedai runcit dan 178 kedai serbaneka di seluruh Pahang.

“Kami turut melakukan pemeriksaan di 209 farmasi untuk memastikan pengguna mendapat bekalan dan membayar pada harga berpatutan.

“Oleh itu, kita harap harga barang keperluan tidak naik sepanjang tempoh PKP ini,” katanya di Kuantan, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fitri berkata, seramai 10 peniaga di Pahang dikompaun RM100 setiap individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lapan peniaga didapati melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga manakala dua lagi peniaga atas kesalahan alat penimbang tamat tempoh.

“Antara kesalahan tiada harga membabitkan jualan gula, bawang, minuman, sayuran dan nasi ayam.

“Kesalahan itu dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 manakala kesalahan alat penimbang tamat tempoh pula mengikut Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang PKP, pihaknya menerima 127 aduan daripada pengguna antaranya membabitkan harga, barang tiruan, perkhidmatan mengelirukan dan bengkel kenderaan bermotor.

Menurutnya, daripada jumlah jumlah itu, sebanyak 47 aduan berjaya diselesaikan manakala baki 80 aduan lagi masih dalam siasatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 5:13 PM