KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mendapati bekalan barangan mencukupi dan dijual dengan harga berpatutan. FOTO Mohd Rafi Mamat
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mendapati bekalan barangan mencukupi dan dijual dengan harga berpatutan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang membuat pemeriksaan terhadap lebih 976 premis seluruh negeri itu sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19.

Pemeriksaan membabitkan 800 premis di bandar dan selebihnya sebanyak 176 di luar bandar yang menyediakan pelbagai barangan keperluan harian kepada pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang Ahmad Fitri Ali berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati semua premis mematuhi harga ditetapkan terutama membabitkan barangan kawalan.

Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati terdapat premis yang menjual beberapa jenis barangan pada harga lebih rendah dalam usaha mereka membantu meringankan beban pengguna yang terjejas pendapatan berikutan PKP sejak 18 Mac lalu hingga 14 April ini.

Katanya, bekalan semua jenis barangan kini mencukupi dan terkawal, pengguna tidak perlu bimbang dan membuat pembelian panik kerana ia akan memburukkan keadaan.

“Saya berpuas hati dengan sikap tanggungjawab peniaga di negeri ini yang dapat mematuhi peraturan harga ditetapkan kerajaan terutama sepanjang PKP, mereka tidak bersikap mengambil peluang ketika negara berhadapan wabak pendamik berkenaan.

“Hampir setiap hari pegawai KPDNHEP peringkat negeri dan daerah membuat pemeriksaan di kawasan bandar dan luar bandar bagi memantau harga selain bekalan barang terpilih,” katanya di Kuantan hari ini.

Beliau menegaskan, pengguna yang mendapati terdapat premis menjual barangan kawalan pada harga melebihi yang ditetapkan boleh segera membuat aduan kepada pihaknya di peringkat negeri dan daerah.

Ahmad Fitri berkata, pengguna boleh menghubungi Bilik Gerakan Pusat Arahan Penguatkuasaan atau Enforcement Command Centre (ECC) yang dikendalikan beberapa pegawai.

Katanya, pengguna yang ingin membuat aduan boleh terus menghubungi ECC di talian 09-5717757 (Kuantan), 09-2901601 (Temerloh), 09-2601374 (Jerantut), 09-3554000 (Raub) dan 09- 4140512 (Rompin).

“Setiap aduan akan terus disiasat sebelum sebarang tindakan dibuat. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, hukuman setimpal menunggu mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 4:10 PM