AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN
BERNAMA

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 12 Jun ini bagi mendengar permohonan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan memberitahu Bernama mengenai tarikh itu menerusi mesej aplikasi WhatsApp.

Ini adalah penangguhan kedua diputuskan mahkamah berikutan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 15 hingga 28 April ini.

Mahkamah sebelum ini menangguhkan permohonan pendengaran pada esok (15 April) dan juga untuk pengurusan kes, kerana pelaksanaan PKP di seluruh negara dari 18 Mac sehingga 14 April bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam pendapatan sebenarnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 4:48 PM