AHMAD hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Fathil Asri.
AHMAD hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Fathil Asri.
BERNAMA

MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur menetapkan 9 Julai untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan bagi membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu yang dihadapinya.

Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di hadapannya hari ini.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad, sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah memfailkan hujahan berhubung permohonan anak guamnya di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar mengesahkan perkara itu.

Mohd Mukhzany Fariz yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria, turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan pagi ini.

Ahmad, 54, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas timbalan menteri kewangan itu didakwa menerima wang itu daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 2:19 PM