Daging sejuk beku yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Daging sejuk beku yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Sebanyak 25 tan daging lembu sejuk beku dari Australia dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Pelabuhan Barat dekat sini, Isnin lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim berkata, penahanan daging yang bernilai RM309,541.03 itu dilakukan hasil pemeriksaan rutin dijalankan pegawai penguasa MAQIS terhadap sebuah kontena.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada 4.20 petang itu, didapati kontena yang membawa dagangan daging lembu sejuk beku itu tidak mematuhi syarat Permit Import dikeluarkan oleh MAQIS.

"Pengimport yang membawa keseluruhan dagangan itu juga gagal mempamerkan logo halal di dalam kotak dagangan yang dikehendaki sepertimana yang dinyatakan dalam syarat Permit Import yang diluluskan.

"Justeru, semua daging sejuk beku dianggarkan seberat 25,289.30 kilogram (kg) dan bernilai RM309,541.03 ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ni.

Katanya, kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada Permit Import MAQIS satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekaliĀ£," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 12:10 PM