ANTARA daging yang dirampas MAQIS. FOTO Ihsan MAQIS SELANGOR
ANTARA daging yang dirampas MAQIS. FOTO Ihsan MAQIS SELANGOR
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Sejumlah 24 tan daging kerbau sejuk beku dari India dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Pelabuhan Klang Barat di sini, Sabtu lalu.

MAQIS Negeri Selangor dalam kenyataan berkata, hasil pemeriksaan rutin pegawai penguat kuasa MAQIS pada jam 3.25 petang itu mendapati terdapat kontena yang membawa dagangan daging kerbau sejuk beku yang tidak mematuhi syarat permit import yang dikeluarkan oleh MAQIS.

"Pengimport yang membawa dagangan itu gagal mempamerkan logo halal di dalam kotak dagangan sebagaimana syarat permit import yang diluluskan.

"Berikutan itu, kesemua daging kerbau sejuk beku yang dianggarkan sebanyak 1,120 karton dengan nilai RM323,000 ditahan untuk tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati, daging kerbau sejuk beku itu berada di pelabuhan sejak 25 Januari lalu itu dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan untuk pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada Permit Import MAQIS menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), Akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 11:49 AM