MAQIS menggagalkan tindakan pelancong yang cuba menyeludup ikan sejuk beku di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. FOTO Ihsan MAQIS Johor
MAQIS menggagalkan tindakan pelancong yang cuba menyeludup ikan sejuk beku di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. FOTO Ihsan MAQIS Johor
Ibrahim Isa


TINDAKAN pelancong menyeludup masuk ikan sejuk beku dari Kemboja berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor semalam.

Pengarah MAQIS Johor/Melaka, Siti Nur Ahmad berkata, hasil pemeriksaan MAQIS mendapati pelancong itu membawa pelbagai jenis ikan sejuk beku seperti ikan belida 14 kilogram (kg) serta ikan kelah (6 kg) yang dimuatkan dalam sebuah bekas polisterin tanpa sebarang permit import dikeluarkan MAQIS.

“Berat keseluruhan produk ikan itu 20 kg.

“Berikutan itu, pelancong berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11(3) akta sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu katanya, MAQIS Johor turut merampas isi kelapa putih sejuk beku di Tapak Pemeriksaan Jeti Right Base, Kampung Minyak Beku, Batu Pahat Khamis lalu kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana dinyatakan dalam permit.

Menurutnya, pemeriksaan pegawai MAQIS pada 12 tengah hari mendapati, pengimport membawa masuk produk tidak mematuhi syarat import seperti mana dinyatakan dalam permit import (IP) dikeluarkan MAQIS.

“Permit import yang dikeluarkan menyatakan jenis dan kuantiti diluluskan bagi suatu pengimportan.

“Dalam permit itu dinyatakan jenis rawatan yang perlu dilakukan, pengisytiharan tambahan dan keperluan lain perlu dipatuhi pengimport.

“MAQIS sentiasa memantau pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian, hasil laut dan berkaitan yang masuk atau keluar dari Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 9:37 PM