KEADAAN di Terminal Feri Antarabangsa Kukup sesak dikunjungi warga Indonesia. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN di Terminal Feri Antarabangsa Kukup sesak dikunjungi warga Indonesia. FOTO Ihsan Pembaca
Togi Marzuki


POLIS terpaksa mengawal Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di Pontian, hari ini, susulan ramai warga Indonesia hendak pulang ke kampung halaman mereka.

Jurucakap pengurusan Terminal Feri Antarabangsa Kukup ketika dihubungi berkata, kesesakan berlaku sejak awal pagi apabila warga negara itu berpusu-pusu membeli tiket.

“Kehadiran mereka yang begitu ramai dan di luar jangkaan itu, bukan saja menimbulkan kesesakan di kaunter jualan tiket, malah di dalam dan luar persekitaran terminal.

“Namun dengan bantuan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Terdahulu, berita kesesakan di terminal itu tular di laman Facebook (FB).

Difahamkan, kepulangan mereka beramai-ramai itu kerana permit kerja hampir tamat dan ada yang diberhentikan akibat krisis koronavirus baharu (Covid-19) yang melanda negara.

Mereka kebanyakannya bekerja di sekitar Johor Bahru, namun memilih Terminal Feri Antarabangsa Kukup sebagai destinasi untuk pulang ke Indonesia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, ketika dihubungi berkata, kehadiran mereka terlalu ramai itu menyebabkan berlaku kesesakan di dalam dan luar terminal berkenaan.

“Bagaimanapun, keadaan terkawal dan diharap melalui esok, pengurusan terminal perlu menambah jadual perjalanan, daripada empat kepada enam jadual perjalanan.

“Langkah itu bagi mengurangkan kesesakan dan sekali gus memberi keselesaan kepada mereka yang permit kerjanya hampir tamat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 4:50 PM